Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 1 September. - Majlis Bercorak Keagamaan bersempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam bagi malam ke-9 diteruskan lagi malam tadi di Istana Nurul Iman.
Majlis dihadiri oleh pegawai serta kakitangan daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN); Majlis Belia Brunei; Kumpulan Belia Masjid (KBM) Masjid Az-Zakireen, Meragang; Jabatan Pengajian Islam (JPI) Bahagian Sekolah Ugama (Brunei IIB); dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Daerah Tutong (Gabungan Muslimah Masjid Hassanal Bolkiah dan Muslimah Masjid Kiudang).
Hadir pada majlis berkenaan, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di KHEDN, Awang Salminan bin Haji Burut; dan Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah) di KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan di ruangan lelaki.
Majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar dan disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Awang Ashizal bin Zainal Abidin dari Bahagian Sekolah Ugama (Brunei IIB).
Majlis turut diserikan lagi dengan tazkirah bertajuk 'Menghayati Sunnah Rasulullah' yang disampaikan oleh Pegawai Ugama di Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Awang Nasyith bin Superi.
Persembahan dikir seterusnya mengalunkan Dikir Assalamualaika dan Dikir Asyraqal, diikuti Dikir Khairuman, Dikir Bisyahrin, Dikir Al-Hamdu dan Dikir Badat, sebelum majlis diakhiri dengan bacaan Doa Dikir serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Sementara di ruangan wanita, tazkirah bertajuk 'Teladan Keluarga Sakinah Mawaddah Warahmah' disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Unit Da'wah Daerah Belait, Dayang Siti Ramziah binti Haji Mohamad Ramli.
Hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di KHEDN, Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon.